Pendidikan
Sekolah Kebangsaan Bukit Jalil
Sekolah Kebangsaan Bukit Jalil merupakan sebuah Sekolah Kebangsaan yang terletak di Jalan 3/155A, Bukit Jalil Golf Resort, Kuala Lumpur, Malaysia. SK Bukit Jalil mula dibuka dan beroperasi pada tahun 2002. Murid-murid pada mula SK Bukit Jalil dibuka adalah seramai 112 orang dari Tahun 1 hingga Tahun 5. Sekolah hanya menerima murid Tahun 6 pada tahun 2003. PIBG telah ditubuhkan pada bulan April 2002 dan, Pengerusi PIBG yang pertama dilantik ialah Dr. Abdullah bin Taib. Sehingga kini, SK Bukit Jalil telah berkembang pesat dan mempunyai warga sekolah seramai 79 orang guru dan 1333 orang murid Tahun 1 hingga Tahun 6.
Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Jalil
Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Jalil dibuka pada Januari 2002 dengan jumlah guru seramai 11 orang dan jumlah pelajar ialah seramai 12 orang. Walau bagaimanapun, jumlah pelajar dan guru semakin meningkat jumlahnya dari semasa ke semasa. Sekolah ini terletak bersebelahan Sekolah Kebangsaan Bukit Jalil iaitu di Jalan 3/155A, Bukit Jalil Golf Resort, Kuala Lumpur, Malaysia.
International Medical University
Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU) adalah universiti sains kesihatan swasta berbahasa inggeris di Kuala Lumpur, dan universiti perubatan dan penjagaan kesihatan swasta terkemuka di Malaysia. Ia telah ditubuhkan pada tahun 1992, dan aktif dalam penyelidikan dan pengajaran dalam bidang perubatan dan penjagaan kesihatan dengan orientasi antarabangsa yang kukuh. Merupakan sebuah anak syarikat IHH Healthcare dan syarikat usahasama penyedia penjagaan kesihatan swasta bersama Parkway Pantai yang dimiliki oleh Khazanah Nasional. Ketua Pegawai Eksekutif semasa IMU adalah Abdul Aziz Baba.
Sekolah Sukan Bukit Jalil
Sekolah Sukan Bukit Jalil merupakan sekolah sukan yang pertama di Malaysia. Sekolah ini terletak di Kompleks Sukan Negara di Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Sekolah Sukan Bukit Jalil dibuka pada tahun 1996 dengan pengambilan atlet yang terdiri daripada pelajar tingkatan satu dan tingkatan empat. Ketika ini, bekas pelari pecut dan Olahgarawati kebangsaan Marina Chin menjadi pengetua sekolah ini sejak 2007.